Wednesday, November 9, 2016

Mayat Rakyat Malaysia Ditemui Dalam Tasik Air Panas Di Gunung Rinjani Indonesia

JAKARTA: Seorang warga Malaysia ditemukan maut dalam tasik air panas yang dikenali sebagai Aik Kalak atas gunung berapi Gunung Rinjani di Pulau Lombok semalam.

Gunung Rinjani menjadi kawasan larangan dan orang awam dilarang mendaki gunung itu ekoran ia mula aktif mengeluarkan debu panas sejak September lepas.

Menerusi Media dalam talian memetik jurucakap Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Nusa Tenggara Barat memaklumkan lelaki rakyat Malaysia itu dikenali sebagai Ng Yin Teck berusia 24 tahun.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, Ng bersama-sama rakannya, seorang wanita rakyat Jerman mendaki gunung itu diiringi seorang porter dan seorang pemandu pelancong.

Rombongan pendaki gunung berapi itu sebenarnya tidak mendapat keizinan pengurusan Taman Nasional Gunung Rinjani.


Jurucakap itu berkata pengurusan taman berkenaan telah menutup semua laluan untuk mendaki gunung itu sejak Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) mengeluarkan amaran bahaya.

Ng dan rombongan terbabit mendaki gunung itu menggunakan laluan Sembalun di daerah Lombok Timur pada awal pagi semalam.

Sebaik sampai di kawasan pemandian air panas itu pada 12.30 tengah hari waktu tempatan, Ng dan teman wanitanya itu terus mandi dan berenang dalam tasik air panas selama 30 minit.

Teman wanitanya kemudian mendapati Ng tidak muncul di permukaan air setelah menyelam agak lama dan kemudiannya meminta bantuan awam.


Beliau berkata ketika kerja-kerja mencari dan menyelamat hampir dihentikan ekoran cuaca gelap, mayat Ng kemudiannya ditemukan terapung pada 7 malam.

Pasukan mencari dan menyelamat sedang menjalankan kerja-kerja menurunkan mayat Ng dari gunung.


Sementara itu Penasihat Kedutaan Bahagian Konsular dan Imigresen, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Kamalludin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pagi tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, Ng yang berasal dari Johor dikatakan pergi ke Lombok untuk tujuan bercuti dan mendaki gunung bersama temannya seorang rakyat Jerman.

Pihak kedutaan sedang menunggu laporan lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan lanjut, katanya.

Sumber: Astro Awani

Mayat Rakyat Malaysia Ditemui Dalam Tasik Air Panas Di Gunung Rinjani Indonesia Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.