Monday, August 1, 2016

Walaupun Terkena Enam Das Tembakan, Saya Tidak Berasa Sakit

Putrajaya: "Walaupun terkena enam das tembakan, saya tidak berasa sakit kerana ketika itu saya hanya memikirkan negara dan anak bangsa," kata Lans Koperal Abdul Halim Hassan yang diserang hendap komunis di Jalan Raya Timur-Barat, Grik, Perak pada 15 Ogos 1977.

Menceritakan detik cemas menentang komunis, Abdul Halim yang ketika itu Prebet berkata, beliau bersama empat lagi rakan seperjuangan ditugaskan melaksanakan operasi di Pos 8 Jalan Raya Timur Barat, untuk mengambil bekalan makanan di Pos 5 yang berada kira-kira 20 kilometer dari Kem Banding.

Katanya, dalam perjalanan ke Pos 5, kumpulan itu yang terdiri daripada beliau sendiri, Lans Koperal Ahmad Zaki Shamsudin, Prebet Ielias Ibrahim, Prebet Tajudin Yusof, Prebet Md Ali Hassan diserang hendap kumpulan komunis yang berada di bukit berhampiran.
"Tiga tembakan terkena di bahagian perut dan tiga lagi terkena bahagian tangan...syukur peluru tidak terkena pada pusat nyawa dan saya terselamat daripada serang hendap itu.
"Sebak melihat persembahan pantomin sebentar tadi apabila mengenang dua rakan seperjuangan (Md Ali dan Tajudin) kami terkorban apabila ditembak komunis," katanya.

Pada majlis itu, Abdul Halim bersama Ielias dan Ismail Ali yang mewakili bapanya Md Ali menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sementara itu, Ielias berkata pantomin yang dijayakan anggota dari Batalion Ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja bukan rekaan malah ia merupakan cerita benar beliau bersama rakan-rakan untuk mempertahankan kedaulatan negara.
"Saya tidak dapat menahan daripada mengalirkan air mata apabila peristiwa itu ‘diulang’ dan dipersembahkan hari ini. Walaupun serangan itu sudah lebih 30 tahun berlalu, ia masih segar dalam ingatan dan seolah ia berlaku semalam," katanya.

Ielias yang cedera di bahagian mata akibat terkena duri pokok ketika serang hendap itu juga berjaya melepaskan tembakan dan membunuh tiga komunis yang cuba menyerang beliau.

Sehubungan itu, Ielias menyarankan semua rakyat Malaysia agar sentiasa sayang dan cintakan negara kerana keamanan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini adalah perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan terdahulu.
"Pasukan keselamatan negara juga jangan lalai daripada perjuangan mereka. Mereka harus mempertahankan negara daripada anasir yang boleh menggugat kedaulatan negara," katanya yang juga satu-satunya anggota Askar Wataniah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Pingat Keberanian Handalan Perak (PKH).
Sumber Harian Metro

Walaupun Terkena Enam Das Tembakan, Saya Tidak Berasa Sakit Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.