Monday, August 8, 2016

Samseng Mengganas Di Shah Alam, Polis Keluarkan Kenyataan Mengejutkan!

SHAH ALAM 7 Ogos - Penduduk di pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16 di sini bimbang mengenai keselamatan mereka apabila sekumpulan lelaki dipercayai daripada kumpulan samseng mengganas, semalam. 

Dalam kejadian 3.50 pagi tersebut, kumpulan samseng terlibat me­netak dan menembak tiga orang mangsa, termasuk seorang pengawal keselamatan di pangsapuri itu.

Pengawal keselamatan, Mustafa Harun, 53, yang cedera akibat kesan tembakan di pinggang serta tetakan di kepala kini sedang dirawat di zon kritikal salah sebuah hospital di sini.

Selain itu, dua lagi mangsa iaitu Ismail Omar, 66, cedera di kepala akibat terkena tetakan senjata tajam manakala Amirul Ilham, 22, cedera parah di kaki kanan dipercayai akibat dilanggar dengan kereta.


Setakat ini, ketiga-tiga mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, kes tersebut adalah kes jenayah dan bukannya disebabkan faktor perkauman.
“Tak ada apa-apa. Ini kes jenayah,” katanya
Shafien berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3.50 pagi dan akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu esok.

Menurut laporan awal, sekumpulan lelaki samseng itu menetak dan menembak tiga penduduk selepas cubaan salah seorang daripada mereka untuk mencuri motosikal dihalang penduduk kawasan itu.


Selepas gagal mencuri, suspek terbabit datang semula ke pangsapuri itu dengan membawa sekumpulan rakannya sebelum menyerang ketiga-tiga mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

Shafien dalam laporan akhbar hari ini berkata, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan suspek terbabit melepaskan dua das tembakan berdasarkan pene­muan dua kelongsong peluru di tempat kejadian.

Dalam pada itu, katanya, satu pasukan siasatan khas mengenai kejadian itu telah ditubuhkan dan setakat ini dua suspek berusia 20 dan 25 tahun yang berasal dari Klang telah ditahan untuk membantu siasatan.

Kedua-dua suspek terbabit ditahan ketika datang ke Balai Polis Seri Muda di sini semalam untuk membuat laporan.

Sumber Utusan Online

Samseng Mengganas Di Shah Alam, Polis Keluarkan Kenyataan Mengejutkan! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.