Wednesday, August 10, 2016

Mengejutkan! Suasana Program Dialog Tanya Finas Bertukar Panas Apabila Yusof Haslam Merajuk & Tarik Diri Dari FFM

Suasana program dialog Tanya Finas yang diadakan pada malam Isnin bertukar panas apabila Presiden, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam merajuk dan berhasrat untuk tidak lagi terlibat dalam penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) pada masa depan.

Keputusan itu dibuat selepas berasa terkilan dengan tuduhan kononnya beliau menggunakan kepentingan peribadi bagi membolehkan dua filem terbitan syarikatnya iaitu Skop Productions iaitu Munafik dan Mat Moto – Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dicalonkan pada FFM28 yang bakal berlangsung pada 3 September depan.
“Jika kedudukan saya kononnya ada kepentingan peribadi dan perkara ini menjadi pertikaian, sudah tiba masanya PFM cuci tangan dan menyerahkan sepenuhnya penganjuran festival filem itu kepada Finas. Saya sendiri pun sudah penat dengan pelbagai tuduhan dilemparkan walaupun ia sama sekali tidak benar malah barisan juri pun saya tidak tahu siapa.”

Yusof yang hadir sebagai panel bersama Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Ekskutif PFM, Pansha menerima asakan daripada penggiat industri yang mempersoalkan persatuan itu dalam penganjuran FFM28 yang dilihat berat sebelah apabila mengasingkan filem bukan di dalam bahasa Malaysia dalam kategori berbeza.

Pada pertemuan itu juga antara cadangan dilontarkan ialah meminta Finas dan PFM tidak mengasingkan pencalonan di dalam FFM mengikut bahasa sesuatu filem dan mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul baru-baru ini. Ada juga yang mencadangkan agar Finas melantik badan bebas pada penganjuran festival itu pada masa depan agar tidak lagi timbul konflik dan persoalan apabila Finas atau persatuan berkepentingan menganjurkan FFM.

Kamil menjelaskan bahawa pihaknya yakin tiada sebarang isu kepentingan peribadi seperti mana ditimbulkan oleh sesetengah pihak terhadap Yusof. Beliau menyifatkan perjumpaan itu sebagai berjaya selain Finas terbuka dengan setiap pandangan yang diberikan oleh pemain industri yang hadir pada majlis tersebut.


Pihaknya juga terbuka terhadap sebarang perubahan hasil daripada input dan pandangan diterima berhubung FFM28 namun ia memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya tidak menolak sekiranya terdapat sebarang perubahan hasil daripada perjumpaan pada malam ini namun ia memerlukan penelitian mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.”

Penganjuran FFM28 menjadi kontroversi apabila isu pengasingan karya berasaskan bahasa diperkenalkan. Filem-filem seperti OlaBola, Jagat dan The Kid From The Big Apple tidak dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Sebaliknya, filem-filem popular itu dicalonkan dalam kategori bukan Bahasa Malaysia untuk Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik. Hal itu membuatkan beberapa persatuan seni antaranya Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyatakan hasrat memboikot acara itu.

Mengejutkan! Suasana Program Dialog Tanya Finas Bertukar Panas Apabila Yusof Haslam Merajuk & Tarik Diri Dari FFM Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.