Tuesday, August 2, 2016

Anak PM, Nazifuddin Diarah Bayar RM212,032 Kepada CIMB

KUALA LUMPUR: Anak lelaki perdana menteri, Mohd Nazifuddin Mohd Najib perlu membayar RM212,032 kepada CIMB Bank Bhd kerana menjadi penjamin kepada sebuah syarikat dalam perjanjian sewa beli pinjaman kereta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim pada Isnin menolak rayuan oleh Mohd Nazifuddin terhadap keterangan penghakiman yang diperolehi oleh bank terhadap beliau supaya menyelesaikan jumlah tertunggak sepenuhnya.

Ahmad Zaidi turut menolak rayuan oleh Mohd Nazifuddin, 32, terhadap keengganan Mahkamah Sesyen untuk membatalkan tuntutan ke atas beliau.

Hakim turut membuat keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan pihak tersebut di dalam kamar.

Bercakap kepada The Star, peguam bank tersebut, Datuk K.Ganesan berkata hakim mendapati bahawa tidak ada kesilapan dalam dapatan fakta atau undang-undang dalam penghakiman Mahkamah Sesyen.


Beliau berkata hakim memerintahkan Mohd Nazifuddin untuk membayar RM3,000 sebagai kos kepada bank.

Perayu diwakili peguam Justin Voon.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Sesyen pada 11 September tahun lalu, CIMB Bank menamakan Prima Agri-Products Sdn Bhd dan Mohd Nazifuddin sebagai defendan.

Bank itu yang menjadi plaintif tunggal mendakwa bahawa ia bersetuju memberi kemudahan pinjaman sewa beli untuk kereta BMW X5 atas permintaan syarikat dengan harga RM475,000, mengikut perjanjian yang ditandatangani syarikat tersebut.


Bank itu mendakwa Mohd Nazifuddin menandatangani 'perjanjian penjamin' bertarikh 18 Mac 2010 di mana beliau bersetuju menanggung segala kerugian yang disebabkan pelanggaran perjanjian oleh syarikat tersebut.

Menurut bank itu, syarikat tersebut telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM47,500 dan ansuran bulan berjumlah RM303, 623.10 tetapi gagal menjelaskan bayaran yang akan datang mengikut jadual yang dipersetujui mereka.

Antara lain, plaintif telah menghantar notis bertarikh 18 Ogos tahun lepas kepada defendan untuk menamatkan perjanjian dan tuntutan bagi pembayaran yang  belum dijelaskan.

Dalam permohonan di Mahkamah Sesyen, bank itu telah menuntut wang tunai RM212,032.11, faedah dan kos daripada Mohd Nazifuddin.

Sumber Mstar Online

Anak PM, Nazifuddin Diarah Bayar RM212,032 Kepada CIMB Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.