Sunday, July 17, 2016

Walaupun Tiap Hari Saya Teringatkan Suami, Tapi Saya Perlu Teruskan Hidup Dan... - Balu Pegawai Pertama MH17

"Walaupun setiap hari, saya teringatkan suami saya, tapi saya perlu teruskan kehidupan dan kuatkan semangat demi anak saya," kata Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied, balu kepada pegawai pertama Penerbangan MH17 Malaysia Airlines, Ahmad Hakimi Hanapi.

Ahmad Hakimi adalah antara 298 anak kapal dan penumpang pesawat Boeing 777 yang maut apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.


Bercakap kepada Bernama di sini baru-baru ini, Asma'a berkata setelah dua tahun kejadian itu berlaku, kini beliau semakin menyedari tentang perlunya beliau kembali menjalani kehidupan seperti biasa demi masa depan sendiri dan anaknya, Abderrahman, yang akan berusia tiga tahun Oktober ini.
"Saya boleh katakan begitu tenang sekarang. Saya mempunyai pekerjaan sepenuh masa di Jabatan Sumber Manusia, Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu dan sibuk dengan perniagaan francais Boost Juice saya, di sini.
"Banyak urusan yang perlu dilakukan, seperti menyediakan invois untuk perniagaan saya. Memanglah saya selalu teringat kepada suami saya, tapi saya perlu meneruskan kehidupan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
"Saya ketepikan saja perkara yang boleh melemahkan semangat saya. Saya tidak boleh lemah semangat demi anak saya, mertua, ipar dan sesiapa sahaja. Saya perlu kuatkan semangat agar orang nampak saya boleh meneruskan kehidupan," kata wanita berusia 31 tahun itu.
ARTIKEL MENARIK:- Kronologi Dan Kejadian Sebenar Cubaan Rampasan Kuasa Di Turki

Gambar kenangan Ahmad Hakimi bersama anaknya, Abderrahman.
Sambil melemparkan pandangan kepada Abderrahman, yang sedang leka bermain dengan permainan kartun menggunakan Ipad, Asma'a berkata: "Dialah hidup saya dan membuat saya sentiasa sibuk kerana dia sedang membesar serta sedang belajar meneroka perkara baharu".

Kata Asma'a, setelah ketiadaan suaminya, Abderrahman amat rapat dengan bapa mertuanya, Dr Hanapi Mohd Noor, 68, yang meninggal dunia Khamis lepas akibat kanser hempedu.
"Saya sedih apabila bapa mertua saya juga sudah tiada kerana dia amat rapat dengan Abderrahman," katanya.

Walaupun Tiap Hari Saya Teringatkan Suami, Tapi Saya Perlu Teruskan Hidup Dan... - Balu Pegawai Pertama MH17 Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.