Monday, July 11, 2016

Saya Sanggup Buat Apa Saja Untuk Dapatkan Anak Namun Tersilap Langkah - Wanita Ini Kesal Tindakannya Bawa PADAH!

Kuala Lumpur: “Saya cuma mahu bergelar ibu dan saya sanggup lakukan apa saja untuk mendapatkan anak. Namun, saya tersilap langkah dan kini hidup dalam ketakutan,” itu kekesalan Nadia, 43, yang sanggup meminjam wang daripada sindiket ceti haram (along) untuk menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Nadia yang terdesak mencari penyelesaian kepada kegagalannya untuk hamil selepas 18 tahun berkahwin kini bimbang keselamatan dirinya akibat tidak berfikir panjang sebelum membuat keputusan meminjam RM25,000 daripada along yang dikenali menerusi iklan di Internet.
“Sepanjang perkahwinan, saya hanya memikirkan bagaimana untuk mendapatkan anak biarpun suami reda jika kami tiada zuriat.
“Namun, saya tetap mahu merasai nikmat mengandung biarpun usia makin meningkat.
“Keadaan semakin teruk apabila masyarakat sekeliling termasuk keluarga mentua tidak putus bertanyakan bila saya akan mengandung.
“Situasi itu memberikan saya tekanan kerana segala usaha tidak membuahkan hasil,” katanya.

Menceritakan semula kisahnya, Nadia yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta menemui rakannya yang berjaya hamil melalui rawatan IVF selepas 10 tahun berkahwin, sekali gus membuatkannya teruja mencuba kaedah itu.
“Pada Disember tahun lalu, saya berjumpa rakan lama di majlis kenduri dan dia berkongsi kegembiraannya hamil anak kembar selepas 10 tahun menunggu.
“Saya hanya mampu menunjukkan wajah pura-pura gembira sedangkan dalam hati ini seperti ada bunga api kerana geram saya masih gagal hamil.
“Pernah saya salahkan takdir mengapa saya masih gagal hamil biarpun keputusan ujian kesihatan menunjukkan sistem peranakan saya sihat,” katanya.
Katanya, dia mendapatkan nasihat pakar sakit puan di hospital swasta untuk menjalani rawatan IVF sebelum mengetahui kos yang perlu ditanggung sangat tinggi dan wang simpanannya tidak mencukupi.
“Apabila doktor memaklumkan saya perlu membayar RM25,000 untuk rawatan IVF, saya buntu mencari wang berkenaan sehingga terjumpa iklan along di Internet yang menjanjikan pinjaman segera tanpa perlu melalui banyak proses.
“Tanpa berfikir panjang bagaimana membayar semula wang itu, saya terus dapatkan wang segera itu dan serahkan kepada doktor pakar untuk rawatan IVF pada bulan sama iaitu Februari lalu,” katanya.

ARTIKEL MENARIK:- Dicerai Suami Selepas Potong Tiub Peranakan, Doktor Ini Kongsi 5 Kisah Kehamilan Yang Menyentuh Hati!

Perasaan hampa dan sedih sekali lagi menimpa Nadia apabila rawatan IVF dijalani gagal selepas dia datang bulan bulan seterusnya dan doktor mengesahkan telurnya gagal disenyawakan dengan sperma suami atas faktor usia.
“Perasaan saya bercampur sedih dan takut kerana saya masih gagal hamil dan pada masa sama belum mencari jalan untuk membayar wang dipinjam.
“Along memberi saya masa selama tiga bulan memulangkan wang yang dipinjam atau mereka menggandakan jumlah wang itu,” katanya.
Lebih merunsingkan Nadia apabila suaminya tidak tahu menahu tindakannya meminjam daripada along kerana bimbang suaminya tidak bersetuju.
“Saya menyesal kerana tidak berfikir panjang sebelum melakukan keputusan bodoh ini.
“Kini, saya bukan saja gagal hamil, malah saya berisiko kehilangan kerja kerana sudah lama tidak hadir ke pejabat dan yang lebih menakutkan saya tiada wang membayar duit along semula,” katanya.
Katanya, dia tiada pilihan lain selain berbincang dengan ibu bapanya di kampung untuk menjual rumah tanah yang mereka duduki untuk melangsaikan hutang yang sudah mencecah RM50,000.

Saya Sanggup Buat Apa Saja Untuk Dapatkan Anak Namun Tersilap Langkah - Wanita Ini Kesal Tindakannya Bawa PADAH! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.