Sunday, July 17, 2016

Rakyat Malaysia Kongsi DETIK MENAKUTKAN Apabila Menjadi Saksi Pertempuran Di Turki!

KUALA LUMPUR – Tembakan daripada helikopter dari udara dan deruman enjin kereta kebal di jalan raya merupakan antara detik-detik menakutkan bagi rakyat Malaysia yang menyaksikan pertempuran antara ten­tera dan orang awam dalam cubaan rampasan kuasa bagi menggulingkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.


Pelajar jurusan Hubungan Antarabangsa, Amirulmukminin Amiruddin menceritakan, insiden itu berlaku berhampiran rumah yang didiaminya bersama beberapa rakan di Istanbul dan bunyi siren polis mendorongnya keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya tengok tentera sedang berarak dengan kereta kebal dan polis serta beberapa orang awam membawa bas, lori dan kren cuba menghalangnya.
“Kemudian, mereka bertempur, polis dan tentera mula bertembak. Sangat menakutkan, bunyi jet dekat sangat atas kepala kami, bunyi helikopter tembak menembak,” katanya seperti dipetik daripada rakaman audio yang disiarkan melalui laman Facebook ‘Buletin TV3’ hari ini.

Amirulmukminin menggambarkan pengalaman ketika pertempuran itu amat menakutkan serta menyaksikan jiran-jirannya yang berkhidmat sebagai anggota polis keluar membawa senjata masing-masing dengan hanya memakai baju tidur.


Sementara itu, kira-kira 200 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ankara kerana pesawat yang singgah dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London tidak dibenarkan berlepas sehingga situasi reda.

Seorang penumpang, Mohd. Khairul Kamil, 32, berkata, mereka semua terpaksa menunggu di lapangan terbang berkenaan sejak pukul 3 pagi waktu tempatan.
“Kami terkandas di sini kerana dikhabarkan tentera Turki sedang menguasai Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di Istanbul,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Ankara berada dalam keadaan selamat.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Turki (Masat), Muhammad Ahmad Zahid: “Pesanan kami kepada keluarga di tanah air supaya banyakkan berdoa dan berkomunikasi dengan anak-anak mereka serta merujuk kepada MASAT dan Kedutaan Besar Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang sahih,” jelasnya.

Sementara itu, Bernama me­laporkan, seorang rakyat Malaysia, Aizat Shamsuddin, 24, berkata, beliau yang dalam perjalanan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul telah ditahan oleh anggota tentera.
“Pemandu bas mengarahkan kami semua keluar kerana tentera tidak benarkan kami pergi ke lapangan terbang itu,” katanya kepada menerusi aplikasi WhatsApp.
Aizat yang dalam perjalanan ke Durban, Afrika Selatan untuk menghadiri persidangan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan, transit di Istanbul kira-kira tujuh jam sebelum mengambil penerbangan sambungan.

Beliau berkata, terdapat sekumpulan kecil rakyat Turki yang cuba menimbulkan provokasi dan protes terhadap anggota tentera yang membuat sekatan.


Katanya, tindakan kumpulan itu menyebabkan anggota tentera melepaskan beberapa das tembakan ke udara sebagai tanda amaran.
“Saya bersama beberapa rakyat negara itu lari selepas tembakan itu kerana bimbang akan keselamatan diri,” katanya.
Aizat berkata, beliau telah menghubungi Kedutaan Malaysia di Turki dan kini berada di lobi sebuah hotel yang terletak lima kilometer dari Lapangan Terbang Ataturk.
“Saya menaiki sebuah kereta milik pramugari Turkish Airlines untuk ke hotel itu... bayangkan lapan orang berada di dalam kereta sebesar kereta Perodua Axia,” katanya.
Sumber Utusan Online 

Rakyat Malaysia Kongsi DETIK MENAKUTKAN Apabila Menjadi Saksi Pertempuran Di Turki! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.