Sunday, July 3, 2016

Pendedahan Sebenar Kisah Misteri Bukit Sejuk Yang Dikatakan Kawasan BERPUAKA

Nahas jalan raya yang meragut 10 nyawa di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bukit Sejuk di sini pada tahun 2009 pastinya masih segar dalam ingatan penduduk di daerah ini.

Sejak daripada kejadian itu, laluan di sekitar Bukit Sejuk sehingga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis khususnya dilihat terus 'mencari mangsa' dengan rentetan kemalangan berlaku, selain meninggalkan terlalu banyak kisah menyayat hati.

Pelbagai kisah misteri dikaitkan dengan laluan yang lurus tersebut sehingga penduduk setempat dan pengguna jalan raya menganggap lokasi berkenaan sebagai 'kawasan berpuaka'.

Mengikut kepercayaan masyarakat setempat, Bukit Sejuk dikatakan menjadi penempatan makhluk halus yang dijaga oleh seorang ketua bernama 'Tok Fakir' sejak 600 tahun lalu.



Bukit tersebut juga dipercayai dikawal oleh seekor kucing bermata hijau serta ular besar yang dikatakan sering kali muncul di laluan utama Felda Chiku 1 terutama pada waktu lewat petang sehingga awal pagi.

Bagi menguatkan dakwaan tersebut, rata-rata penduduk setempat yang ditemui wartawan juga melemparkan pandangan sama bahawa lokasi terbabit sememangnya mempunyai sejarah dan menyimpan penuh kisah misteri.
“Sepanjang jalan Kuala Krai-Gua Musang terutama di Kilometer 21, Bukit Sejuk sememangnya mencabar. Suasana sunyi, jalan berbukit dan dikelilingi hutan belantara cukup menyeramkan.
“Kawasan tersebut bukan sahaja dikatakan dihuni oleh haiwan liar, malah menjadi penempatan makhluk ghaib yang sering muncul setiap kali menjelang waktu lewat petang sehingga awal pagi.
“Seingat saya permulaan kejadian kemalangan di kawasan Bukit Sejuk adalah pada tahun 2009 yang mengorbankan 10 nyawa. Sejak itu lokasi berkenaan terkenal sebagai kawasan berdarah,” kata seorang penduduk, Mohd. Noor Ghani, 54, yang lebih 30 tahun menetap di Gua Musang.
Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang melakukan tinjauan selama dua hari di kawasan tersebut bagi merasai sendiri pengalaman sebenar di lokasi yang dikatakan misteri itu mendapati keadaannya cukup sejuk dan menyeramkan.

Sepanjang perjalanan yang bermula dari sempadan Kuala Krai sejauh 48 kilometer menuju bandar Gua Musang, keadaan laluannya kelihatan tenang dengan kadangkala terlihat kelibat lori balak dan bas berulang alik ke Kota Bharu atau Kuala Lumpur.

Ketika melalui kawasan di Kilometer 21, Bukit Sejuk sehingga kawasan R&R Rantau Manis, keadaan di situ agak lenggang terutama pada waktu malam dengan keadaan suhunya cukup sejuk.

Bagaimanapun tidak ada kejadian misteri berlaku sebaliknya wartawan hanya merasai suasana berbeza berbanding ketika melalui laluan lain selepas kawasan berkenaan.

Sumber Utusan Online

Pendedahan Sebenar Kisah Misteri Bukit Sejuk Yang Dikatakan Kawasan BERPUAKA Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.