Saturday, July 30, 2016

Aku Ada Semua Tapi Aku Tak Puas. Kadang Kala, Malam Aku Nangis Sendirian Hinggalah Pada Satu Malam Aku...

Assalamualaikum,

“Kalau rasa nak solat, try lah solat.”

Aku masih ingat, ibu ayah bercerai sejurus betul2 UPSR aku tamat. Belum dapat result lagi pun ketika itu. Tapi aku terlalu mentah memahami konsep perceraian dan berharap ayah kembali di rumah. Tapi hari demi hari, harapan makin pudar. Aku jadi semakin rebellious. Aku ada ibuku yang setiap hari menangis dan tidak hiraukan sangat aku bersama kakakku. Tak salahkan ibu, kini sudah faham mengapa ibu menangis sentiasa, mana tidaknya, 20 tahun perkahwinan terakhir begitu. Tinggallah aku dan kakak. 

Kakak yang tua hanya dua tahun atas aku, dia menjaga aku sepenuhnya, makan minum, bangun tidur untuk sekolah, bahu ketika menangis berharap ayah pulang dan ibu gembira, telinga ketika nak mengadu. Tapi aku still tak puas. Aku rasa tuhan tidak adil. Ketika itu, bila ibu Tanya sudah selesaikan solat ke belum, aku menipu kata “sudah, tadi.” Walaupun jelas jelas belum. Tidak ada secebis rasa bersalah pada Yang Maha Esa ketika itu. Kadang2, aku masuk ke bilik dan mengunci pintu dan tidur, berpura-pura untuk mendirikan sembahyang sebab tidak mahu dibebel lagi. Di sekolah, semua tak risau. 


Gred semua aku jaga. Pergi balik sekolah seorang. Aku tak ada kawan ramai, dah biasa berpindah sekolah. Ayah dulu strict, kalau Nampak sahaja gred C di slip result, mahu dibalunnya aku di depan cikgu2. Ayah tak salahkan cikgu, ayah salahkan anaknya yang kurang cekap belajar. Petang aku dipenuhkan dengan private tutor, malam pula dengan kelas tambahan. Mahupun habis sekolah pukul2pm, ayah suruh aku tunggu hingga habis office hour dia, ketika aku siapkan kerja rumah. Di sekolah, cikgu tak perasan pun aku ada masalah macam ini disebabkan gred aku yang konsisten itu. Aku ada semua. Tapi aku tak puas. Kadang kala, malam malam aku nangis bersendirian. 

Kenapa aku tak okay okay walaupun dah 2 tahun hidup sama. Aku rasa kosong sangat. Pada satu malam, aku bangun. Rasa kosong. Geram. Marah. Itulah kali pertama terdetik dalam hati aku, “mungkin tiba masanya kau tadah minta pada Maha Pemberi.” Tapi aku takut, hati aku yang gelap tu mana nak Nampak di mata tuhan. Sudah dua tahun sejak kali terakhir aku melafazkan alfatihah. Inikan pula benda lebih kompleks seperti mendirikan solat. Jujur, aku tidak reti membaca alquran. Jauh dari menjadikan lafaz sucinya sebagai halwa untuk telinga. Tangan kuat bermain bola keranjang, tapi lemah dikala menadah tangan berdoa. Tidak pernah pedulikan ajakan orang ke surau. Solat jumaat? 

Aku tidur hingga ibu pun malas nak kejut. Bukan apa, aku piker, kalau tak ada niat, sama saja bukan? Allah tak pandang bukan? Tetapi malam itu lain, hati aku berbisik kesedihan. Mungkin sudah lama sangat merana. “kalau rasa nak solat, trylah solat.” Ketika itu mana ada internet di rumah, telifon sepintar mana pun hanya ada gprs ketika itu. Aku buntu bagaimana nak kikis kotor pada diri ini. Mandi bagaimana? Wudhu bagaimana? Solat bagaimana? Aku terbangun, pergi ke tandas, bukak paip perlahan-lahan. Aku tiru apa yang aku ingat orang buat didepan mata sahaja. Cuci muka, aku gosok sekuat-kuat serata muka aku. Tangan, aku celup sedalam dalam baldi air itu smpai ke bahu. Kaki, sampai ke betis aku jirus dengan air. Mungkin lawak. 



Tapi aku hanya tingkatan dua ketika itu, itu saja caranya aku rasa yang boleh buang dosa yang terpalit pada diriku. “aku nak solat.” Aku korek buku buku lama yang aku ada. Bentang kain, kiblat aku ingat ibu dan kakak solat arah mana. Hati aku berbisik, “tolonglah ya Allah, terima solat satu ini, aku nak tenang, walaupun sekejap sahaja.” Aku membelek buku yang ada dan membaca, memahami cara solat walaupun ingat ingat lupa langkahnya. Mungkin tidak sah solat itu sebab alFatihah pun aku tak tahu. Aku diri, angkat takbir, terkumat kamit di bibir, “ya Allah, aku taktahu solat, alfatihah pun tidak, tapi aku pohon agar ini mencukupi untuk ketika ini.”

Setiap rukun aku bisik benda sama pada Allah. Risau, hati gelap sangat mungkin. Aku tak tidur malam tu, menangis. Aku jauh sangat. Aku cari kawan diam diam, mintak ajarkan. Tetapi, ditempat aku, sukar mendapat rakan yang pandai membaca quran dan boleh mengajar dengan betul sebab baru tingkatan 2. Aku cari dan cari sehingga ada seorang jiran mengajak pergi tempat dia pelajari quran. Aku ikut, aku duduk sebelah dia.  Tempat tu berbayar, tapi aku tak mahu ibu kakak tahu. Malu. Tapi Alhamdulillah, niat ustazah itu murni, dia mengajar aku seberapa yang boleh. 

Lepas habis sukatan iqra’, aku bersendirian dan cuba membaca sendiri. Tergagap. Geram dengan diri sendiri. Orang lain baca macam senang. Aku beli senaskah alquran sendiri. Mungkin itu rahsianya aku fikir. Quran seakan akan tahu untuk berhentikan lidah ketika salah membaca. Aku cuba dan cuba baca berseorangan diam diam di bilik sendiri dan berkunci. Sedikit demi sedikit, aku lancar serba serbi. Gembiranya hati aku bila AlFatihah itu sendiri telah lancar pada bibir. Aku cuba hafal. Aku tulis bunyi ruminya dan simpan dalam poket. Bila berseorangan, aku baca dan cuba untuk ingat. Lepas beberapa kali, aku hafal. Hati aku terdetik lagi,


“kalau rasa dah boleh solat, trylah solat.” Aku tunggu subuh, sebab subuh rakaat paling sikit, mindset aku itu paling senang. Aku tak tidur, gementar pertama kali nak dirikan solat. Aku berwudhu sesempurna mungkin. Dan tunggu subuh. Lepas azan tamat, aku bentang baju bersih dilantai. Kali ini lain. Aku rasa seronok, tenang sebab dapat lepaskan rasa risau silap solat pada Allah. Aku solat dan Alhamdulillah, aku suka. Walaupun tak sempurna, aku rasa puas. Kemudian, jujur aku kata, hidup aku rasa.. tenang. Stabil. Aku mula mendalami ilmu agama sendiri sendiri sehingga berpindah ke tingkatan empat, berasrama. Aku mulakan hidup baru. 

Solat aku jaga, quran aku baca. Walaupun masih tidak sempurna, tapi aku suka mencuba. Hidup aku jadi lebih aman. Alhamdulillah, sekarang bakal menamatkan ijazah perubatan. Alquran Alhamdulillah makin lancar, hafazan aku jaga juga, solat aku utamakan. Tapi semua masih belum sempurna, aku tahu dalam hati aku sendiri masih berbisik. “kalau rasa nak solat, trylah solat lagi.” Ibu gembira dapat tahu anak anaknya jaga solat. Rupanya itulah kunci untuk ukir semula senyum ibu yang aku rindu. Mungkin solat kamu adalah kunci untuk kemahuan kamu sekarang?

Cerita ini bukan untuk menunjuk. Tapi nasihat pada diri sendiri, dan rakan yang mungkin dalam situasi yang sama; rasa nak solat, tapi tak tahu. Ada tergerak walaupun sedikit untuk berdoa, tapi angkuh atau malas. Ada keinginan tapi takut dosa banyak sangat. Nasihat aku, cuba lah sekali saja. Mungkin itu langkah pertama kamu ke arah syurga. So, kalau rasa nak solat, trylah solat.

– anonymous

Aku Ada Semua Tapi Aku Tak Puas. Kadang Kala, Malam Aku Nangis Sendirian Hinggalah Pada Satu Malam Aku... Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.