Tuesday, May 31, 2016

Sedar Populariti Tidak Bertahan Lama, Khai Bahar Akui Tidak Gentar!

Nama Khai Bahar kini bukan asing lagi malah kemunculannya mencetuskan fenomena di laman sosial apabila klip videonya berduet dengan penyanyi Siti Nordiana dengan lagu Memori Berkasih menerusi aplikasi Smule menjadi viral di laman sosial. Menyedari populariti yang diterimanya ketika ini iaitu disebabkan faktor viral di laman sosial adalah sesuatu perkara yang tidak akan bertahan lama, dia bagaimanapun akui tidak bimbang.

Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharudin, 22, dia tidak takut, malah percaya bahawa perkara tersebut merupakan rezeki yang sudah ditentukan oleh Allah.
"Ramai yang mengingatkan saya bahawa populariti yang saya dapat ini hanya mampu bertahan sebentar sahaja, namun saya tidak bimbang tentang itu.
"Saya berada di sini pun disebabkan oleh rezeki yang Allah berikan untuk saya. Mungkin lepas ini giliran orang lain pula," ujarnya.


Dalam pada itu Khai Bahar berkata, peluang yang diterima pada hari ini disebabkan populariti berkenaan adalah satu platform yang berjaya membuka jalan kepadanya menceburi industri seni.
"Syarikat rakaman saya sudah menyediakan perancangan iaitu menghasilkan sebuah single yang bakal dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.
"Lagu ciptaan gitaris kumpulan Khalifah itu sudah siap dirakam, namun belum mempunyai tajuk sesuai lagi.

Buat masa ini segala keputusan tentang lagu dan hala tuju saya dibuat sepenuhnya oleh NAR Records," ujarnya. 

Sementara itu, ditanya tentang kehidupannya dalam sebulan menjadi artis, Khai berkata, dia agak penat, namun seronok melakukan perkara-perkara baru dalam hidupnya.

Jelasnya, dia juga reda dan menganggap sebagai sebuah bayaran sebagai artis apabila kehidupan peribadi mendapat perhatian dan sering dikritik terutama pengguna laman sosial.
"Sebulan ini jadual saya agak penuh dengan undangan nyanyian, fotografi dan program televisyen. Saya seronok dan tidak rasa menyesal memilih jalan ini.
"Selain itu, sekarang dapat juga beri keluarga duit belanja. Tentang kritikan itu perkara biasa hingga sekarang ramai sahaja yang tidak suka saya nyanyikan lagu penyanyi lain.
"Mereka menganggap saya hanya menumpang populariti daripada lagu-lagu yang saya nyanyikan. Saya terima sahaja pendapat sama ada positif atau negatif," ujarnya. 
 

Sedar Populariti Tidak Bertahan Lama, Khai Bahar Akui Tidak Gentar! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.