Tuesday, April 19, 2016

Jenazah Rakyat Malaysia Mangsa Lemas Di Indonesia Selamat Dikebumikan!

BATU CAVES: Suasana suram menyelubungi majlis pengebumian Mohammad Ezzaq Azumi, salah seorang daripada dua mangsa yang lemas ketika mandi di air terjun Cunca Wulang di daerah Mibeliling di Flores, Indonesia, Sabtu lalu.


Ibu kepada Mohammad Ezzaq, Nik Rozaini Nik Mohd Nawi, 46, berkata, kali terakhir dia bercakap dengan anak lelakinya berusia 23 tahun itu adalah dua hari sebelum mendapat tahu anaknya itu telah hilang.
"Kami masih mengharapkan yang terbaik sehingga kami diberitahu bahawa mayatnya telah ditemui pada hari Ahad," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Gombak pada malam Isnin.
Nik Rozaini berkata beliau enggan untuk membenarkan anaknya pergi bercuti ke sana tetapi diberi jaminan bahawa segala-galanya akan selamat.
"Dia beritahu saya bahawa dia telah merancang perjalanan ini kira-kira setahun lalu dan beberapa kali telah menangguhkannya.
"Melihat dia sangat teruja, saya akhirnya memberi restu. Saya menerima ini sebagai sebahagian daripada ketentuan Allah untuk kami," katanya.

Mohammad Ezzaq, anak kedua daripada dua adik-beradik itu dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata kira-kira pukul 10.30 malam.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohamad Azfar Tahir, 23, yang juga lemas dalam kejadian itu, akan dikebumikan pada Selasa.

Mereka berdua bersama-sama dengan dua  lagi rakan yang lain, Mohamad Qayyum Pirdous, 23, dari Perak, dan Mohamad Imran Helmy Had, 23, dari Kuala Lumpur, berlepas ke Indonesia pada 11 April.

Difahamkan Azfar terus berenang sebaik sahaja mereka tiba, dan apabila dia tidak timbul, pemandu arah mereka, Wenceslaus Hendro Agung terjun ke dalam kolam untuk mencarinya.

Walau bagaimanapun, apabila Wenceslaus juga tidak berjaya, Mohammad Ezzaq pula terjun ke kolam untuk membantu.

Akhirnya, ketiga-tiga hilang di bawah permukaan air.

Qayyum, yang menyaksikan apa yang berlaku, pergi mendapatkan bantuan dan berjaya menghubungi polis.

Usaha mencari dan menyelamat bermula pada pukul 3 petang Sabtu tetapi dihentikan pada pukul 5 petang apabila hari semakin gelap.

Operasi itu disambung semula pada pukul 6 pagi Ahad dan semua mayat ditemui pada pukul 1 tengahari.

Sumber Mstar Online

Jenazah Rakyat Malaysia Mangsa Lemas Di Indonesia Selamat Dikebumikan! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.