Saturday, April 23, 2016

Guru Dikejarkan Ke Hospital Selepas Dipercayai Terkena Semburan Bisa Ular

Alor Setar: Seorang guru wanita dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, apabila dipercayai terkena semburan bisa ular pada kaki kirinya selepas terpijak reptilia berkenaan dalam stor sebuah sekolah rendah, di sini, semalam.


Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa berusia 24 tahun bersama rakannya dikatakan mahu menyimpan barang di stor terletak di belakang sekolah berkenaan selepas berakhir majlis Hari Anugerah Cemerlang.

Bangunan dekat stor lokasi guru disembur ular.
Sumber berkata, mangsa secara tiba-tiba berasa seperti terpijak benda lembik menyebabkannya terkejut dan ketika itu ular yang tidak dikenal pasti menyemburkan bisanya.

Menurutnya, akibatnya mangsa dan rakan lain yang berada dalam stor turut menjerit sebelum rakannya terlihat kelibat seekor ular menyusur pergi lalu semua mereka berlari keluar untuk menyelamatkan diri.
“Guru lain yang berada di sekolah itu terkejut sebaik terdengar jeritan lalu pergi melihat apa yang berlaku dan mangsa mendakwa kaki kirinya kebas lalu membasuh bahagian yang didakwa terkena semburan bisa itu dengan air.
“Berikutan itu, guru wanita terbabit dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut selepas berasa pening dan kebas pada kaki selain bimbang keadaan mungkin bertambah teruk,” katanya.
Katanya, keadaan guru wanita berkenaan bertambah baik semalam, namun masih berasa kebas pada kaki kirinya selain fobia dengan apa yang berlaku sebelum rakan-rakannya memberikan semangat.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, hasil pemeriksaan di Jabatan Kecemasan HSB mendapati keadaan guru berkenaan stabil tanpa terdapat tanda serta kesan dipatuk ular.
“Mangsa mengadu mengalami kebas pada kaki kiri lalu ditempatkan di wad pemerhatian mulai jam 11 malam tadi (kelmarin), namun pemantauan dilakukan mendapati keadaan mangsa kekal stabil.
“Pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan tidak menemui sebarang tanda mangsa dipatuk ular sebelum mangsa dibenarkan pulang pagi tadi (semalam),” katanya.
Sumber Harian Metro

Guru Dikejarkan Ke Hospital Selepas Dipercayai Terkena Semburan Bisa Ular Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.