Tuesday, December 29, 2015

Jabatan Meteorologi Keluarkan Amaran Hujan Lebat Peringkat Jingga

Jabatan Meteorologi Keluarkan Amaran Hujan Lebat Peringkat Jingga

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran hujan lebat peringkat jingga di pantai timur dan selatan negara ini dijangka berterusan hari ini. 

Jabatan itu menerusi laman webnya yang dikemas kini jam 1.31 pagi tadi, menyatakan hujan yang kadang-kala menjadi sederhana lebat dijangka berlaku di daerah Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli di Kelantan manakala di Terengganu, ia diramal berlaku di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. 

Di Pahang, ia dijangka berlaku di semua daerah manakala di Johor, daerah yang dijangka mengalami hujan yang kadang-kala menjadi sederhana lebat ialah Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Kulaijaya dan Johor Bahru. 

Amaran hujan lebat peringkat jingga ialah amaran hujan berterusan dan sederhana manakala hujan lebat peringkat merah menandakan banjir teruk mungkin boleh berlaku. 

Sementara itu, ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dijangka melanda Bahagian Kuching, Sarawak, sehingga awal pagi. 

Jabatan itu menerusi kenyataan yang dikemas kini pada 4.36 pagi tadi turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri. 

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang sehingga Jumaat ini. 

Sementara angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Palawan, Kuching dan Labuan, juga sehingga Jumaat ini. 

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Untuk perairan Malaysia, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah (Kudat dan Kota Kinabalu) dan Sarawak. 

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Sumber Berita Harian 

Jabatan Meteorologi Keluarkan Amaran Hujan Lebat Peringkat Jingga Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.