Tuesday, November 24, 2015

Kisah Mengurut Guna Jin, Individu Kongsi Pengalaman Menyeramkan!

Kisah Mengurut Guna Jin, Individu Kongsi Pengalaman MENYERAMKAN!

Bau kemenyan menusuk hidung cukup buat bulu roma meremang. Mata meliar ke seluruh ruang bilik.

Nampak sebekas kemenyan yang diletak di atas bangku Jepun separa lutut di tepi tilam yang digunakan untuk mengurut.

“Buka baju tu mek, pakai kain ni. Mok Yah (bukan nama sebenar) nak start dah ni. Kalau sakit oyak (beritahu),” kata Mok Yah yang usianya mungkin awal 70an.

Sambil menghulurkan kain kuning yang dijahit menyerupai baju pesakit di hospital, Mok Yah tidak melengahkan masa terus mencapai sireh yang telah pun siap sedia di dalam mangkuk bersebelahan dengan bekas yang diisi minyak.

“Mok Yah lama dah ke mengurut, mesti banyak pengalaman kan?," saya cuba mengisi kesunyian malam itu, yang tujuan sebenar adalah untuk memesrakan diri dengan Mok Yah sekali gus mengurangkan sedikit rasa takut yang datang bersama bau kemenyan.

Mok Yah ketawa kecil sambil  menggenggam jari-jari kaki saya. Pada awalnya sentuhan itu agak menakutkan namun lama kelamaan rasa sakit dan lenguh di tapak kaki mulai hilang.

“Mok Yah mengurut sejak umur 20 lagi mek. Masa tu Mok Yah sakit, jatuh motor. Habis luka tubuh. Tapi nak pergi klinik tak ada duit, pakai urut gitu je lah, kaba-kaba sia (sembuh),” katanya sambil memicit pergelangan buku lali saya.

Rasa keberatan pula hendak bertanya kepada Mok Yah tentang ilmu mengurut yang diperolehnya namun apabila terpandang gambar di sisi meja di mana terletaknya mangkuk kemenyan yang masih berasap itu, saya bertanya: “Gambar lama tu Mok Yah, siapa tu?”

“Itu emak dan nenek Mok Yah... demo (mereka) itulah yang turunkan ilmu mengurut ni kepada Mok Yah. Tak menurun pun, tapi kaba-kaba ada ilmu berubat orang melalui mengurut, kita ambiklah moga (sebab) benda molek, bukan benda tak molek,” katanya sambil ketawa kecil.

Ilmu turun temurun

Baru saya tahu dari mana datangnya ilmu mengurut Mok Yah. Rupanya warisan turun temurun. Mok Yah arahkan saya meniarap.

“Mok Yah memang nak mengurut ke, atau saja-saja mewarisi?"

Mok Yah tidak terus menjawab soalan saya. Dia bangun dan keluar dari bilik. Sambil menunggu, saya terus memerhati ke seluruh ruang bilik yang dipenuhi elemen warna kuning daripada cadar, lampu sisi, bekas minyak, mangkuk kemenyan, semuanya kuning.

Sambil memerhati, terpandang bingkai gambar yang diisi dengan sehelai kain kuning yang ditulis ayat bertulisan jawi. Ketika saya cuba mengeja ayat tersebut, tanpa disedari Mok Yah sudah berada di sisi dan menghulurkan agar-agar coklat.

“Makanlah mek, Mok Yah buat tu. Sekejap lagi Mok Yah urut pinggang dengan kayu deh. Lo ni kayu dok atas dapur lagi. Biar panas sikit. Makan benda ni dulu."

Bacaan ayat pendinding

Saya bertanya mengenai ayat itu. Mungkin Mok Yah dapat rasa kelainan saya berbanding pesakitnya yang lain. Saya memang banyak bertanya sebab tujuan saya hari itu bukanlah mahu mengurut tetapi mahu mendapatkan cerita. Kerana itu, kenalah banyak bertanya.

Mulanya Mok Yah seakan keberatan namun akhirnya dia buka mulut juga. Kata Mok Yah: "Ayat tu pendinding Mok Yah. Mok Yah selalu diganggu makhluk halus yang ada dalam badan pelanggan setiap kali datang yang bermasalah saka dan sebagainya.

“Ayat itu memang Mok Yah amal sejak dulu lagi, peninggalan arwah tok dan emak Mok Yah. Mereka pun pakai ayat inilah juga, kena baca lepas sebelum dan selepas mengurut. Kalu Mok Yah tak baca, Mok Yah boleh kena demam tujuh hari tujuh malam.

"Serupa juga dengan kemenyan, kena ada sokmo. Kalau tak ada (kemenyan) tak boleh mengurut, 'angin' tok mari. Wajib pakai kuning sebab tok nenek Mok Yah keturunan raja. Raja zaman dulu, keramat. Kalu angin tak mari, tangan tak kuat mengurut,”ujarnya jelas.

Barulah saya tahu apa guna semua benda yang ada dalam bilik itu. Namun begitu apabila ditanya sama ada ayat itu daripada al Quran ataupun sumber lain,  Mok Yah cuba mengubah perhatian hingga akhirnya soalan saya langsung tidak dijawab.  

Ulam senjata kekal kecergasan

Kak Nita berusia awal 40an, seorang tukang urut yang tidak menggunakan apa-apa ayat pendinding. Hanya berbekal minyak masak, dia telah mengurut lebih 500 orang dalam tahun ini sahaja.

Malah baginya, ulam-ulaman adalah senjata utama untuk mengekalkan kecergasannya walaupun kadang-kadang menerima lebih daripada empat pelanggan setiap hari.

“Tak payah pendinding pun. Kak Nita pakai tangan ni saja,”katanya sambil menunjukkan jari-jemarinya yang dihiasi dengan corak inai.

Kak Nita dikenali sebagai seorang yang sangat ‘mudoh baso’ bagaikan mengetahui niat saya ke rumahnya, dan tanpa segan silu membuka cerita bagaimana dia mendapat ilmu mengurut.

“Dulu Kak Nita bercita-cita nak jadi doktor. Pakar sakit puan. Tapi disebabkan masalah kewangan,  Kak Nita tak dapat sambung pelajaran, setakat SPM saja. Lepas itu, Kak Nita dapat mimpi, ada orang  tua datang beritahu Kak Nita, “Pagi esok mung urut kaki anak sedara mung hok seliuh semalam”.

“Pagi tu Kak Nita cuba buat sebagaimana arahan mimpi. Memang kaki anak saudara Kak Nita terus sembuh. Sejak hari itu, Kak Nita beli beli buku tentang urat saraf. Belajarlah sikit-sikit takut tergeliat tubuh orang nanti,”katanya sambil ketawa.

Kak Nita banyak belajar melalui buku, malah sanggup ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan buku terutama mengenai penjagaan urat saraf wanita.

Mengikut penduduk kampung yang saya temui, mereka memang serasi dengan urutan Kak Nita yang dianggap ala ‘spa’ walaupun hanya menggunakan minyak masak ataupun minyak yang disediakan pelanggan sendiri.

Dengan hanya caj RM30, saya tidak melepaskan peluang untuk merasa sendiri urutan Kak Nita yang memulakan urutan dengan selawat dan surah al-Fatihah.

“Niat dalam hati semoga urutan ini akan beri kesihatan kepada badan kamu nanti, kita usaha saja, ALLAH SWT yang tentukan semuanya,”katanya sambil menyapu minyak ke lengan saya.

Mengurut dengan jin

Dua pengalaman yang saya lalui ini sangat berbeza. Masing-masing punya cara tersendiri. Namun itu bukanlah syarat wajib untuk membuatkan  pelanggan berasa selesa dan memberi keyakinan bahawa sakit yang dialami akan sembuh.

Ela Mardina, gadis berusia 27 tahun, berkongsi pengalamannya yang pernah mendapatkan khidmat seorang tukang urut berusia lebih 80 tahun yang menjadikan pengalaman itu membuat dia berasa serik.

“Cuma saya perasan, semasa mengurut, dia suruh rakan (yang menemani) saya pulang. Saya tidak banyak soal. Mungkin sesi urutan itu ambil masa yang lama, maka tidak peliklah kalau rakan saya disuruh pulang dahulu,”katanya.

Sewaktu urutan hendak dimulakan, tukang urut itu membuka kain putih yang menutupi sebuah tempayan lama bersaiz periuk nasi. Dia mengeluarkan minyak berwarna hitam, sudu garpu dan bedak sejuk. Sebelum mengeluarkan minyak dari bekas itu, mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu yang diyakini Ela, bukanlah ayat al Quran.

Ela semakin berdebar-debar dan tidak sabar untuk menghabiskan sesi urutan secepat mungkin. Sememangnya kesakitan dialami hilang.

“Saya terkejut apabila makcik itu suruh saya bangun dan mencangkung sambil minum air kosong yang dihulurkannya, saya tanya untuk apa, dia hanya jawab untuk memastikan urat saraf tidak kejang semasa diurut,”katanya.

Namun berlainan dengan apa yang dinyatakan, badan Ela mula rasa seram sejuk dan mulutnya bagaikan terkunci rapat. Dia hanya mampu melihat makcik itu buka tudung saji yang diletak berhampiran tilam yang digunakan untuk mengalas badan pelanggan.

“Di bawah tudung saji itu ada seekor ayam golek, air kosong segelas besar, beras kunyit dan tulang-tulang ikan dan ayam yang seperti sudah berhari-hari dibiarkan. Saya hanya memandang.

Tidak mampu untuk bertanya apa-apa. Selepas itu baru saya teringat, ketika saya sampai tadi, makcik tukang urut itu kelihatan tua renta rupanya, macam sudah lebih seratus tahun.

“Tetapi bila masuk saja ke dalam bilik yang menempatkan semua peralatan mengurut, wajahnya berubah kelihatan lebih muda macam awal 60an saja.

Walaupun masih nampak kedutan mukanya tetapi cara berjalan, cara bercakap, lebih bertenaga berbanding masa mula-mula dia sambut saya di pintu tadi,”katanya.

Selepas itu, urutannya juga lebih bertenaga dan urat-urat yang timbul di tangan juga tidak kelihatan, bagaikan satu kuasa aneh telah masuk ke dalam badan wanita itu.

“Kalau sakit beritahu, nok suruh ‘Tok’ buat ‘slow’ sikit,”katanya semasa mengurut kaki Ela. Ela hanya mampu mengangguk.

Urutan selesai selepas hampir sejam. Tanpa berlengah Ela terus keluar pulang tanpa minum kopi yang disediakan makcik tukang urut itu.

Tiba di rumah, Ela hubungi rakannya, Zana (bukan nama sebenar) untuk bertanyakan tentang apa yang berlaku menyebabkan Zana pulang tanpa memberitahu Ela terlebih dahulu walaupun datang menggunakan kenderaan berasingan.

“Rupa-rupanya makcik yang suruh Zana balik. Katanya ‘Tok” tidak suka pelanggannya ditemani. Masa itu, saya sudah mula tidak sedap hati kerana siapa ‘Tok’ yang makcik itu maksudkan? Sedangkan perempuan tua itu dikenali dengan nama ‘makcik’ sahaja,”katanya.

Selepas itu, Zana turut berkongsi cerita sewaktu perjalanan pulang, dia singgah di gerai goreng pisang yang terletak tidak jauh dari kawasan rumah tukang urut itu.

Mungkin disebabkan penjual melihat Zana ‘orang luar’ dari kampung itu, dia bertanya Zana akan tujuannya.

Sebaik dia bercerita, orang kampung yang ada di situ saling berpandangan dan kemudian, mereka pun buka cerita.

“Dik, makcik tu pelihara jin, dik. Yang kamu berani sangat kenapa, pergi bawa kawan kamu balik, teruk nanti. Dengan cara mengurutlah, dia beri jin dia makan. Makan badan kamu, jangan main-main,”katanya. Namun Zana tidak terus kembali ke rumah makcik itu kerana terlalu takut.

Selepas Zana menceritakan hal itu kepada Ela, barulah Ela sedari yang makcik itu adalah ‘Tok’ yang dimaksudkan.

Selepas beberapa hari, Ela bermimpi didatangi seorang lelaki yang berbadan tegap berada di hujung katilnya.

"Saya bangun, tapi kaki amat berat untuk melangkah. Saya hanya mampu melihat lelaki itu dan masuk hari keempat, saya rujuk perkara itu kepada imam masjid di kampung saya.

Akhirnya imam memberitahu, makcik telah pun menurunkan ilmunya kepada saya kerana tidak mampu untuk beri makan pada ‘Tok’ peliharaannya itu kerana jarang mendapat tawaran mengurut sejak umur semakin meningkat.

Oleh sebab itulah ‘Tok’ itu datang jumpa saya. Selepas hampir dua minggu berubat, barulah saya pulih,”katanya.

Hampir sebulan selepas kejadian itu, Ela menghubungi saya dan beritahu, makcik itu telah pun kembali ke rahmatullah. ALLAH mengetahui, disaat sakratulmaut, atap rumahnya terpaksa dibuka. Amalan mengurut dengan jin ini bukanlah satu perkara yang asing dengan dunia urutan tradisional.

Namun tidak semua mengetahuinya dan ambil peduli, apa yang penting, mereka dapat perkhidmatan yang sepatutnya dan kesakitan yang dialami juga sembuh.

Dalam isu ini, saya turut mendapatkan nasihat Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Menurutnya, prinsip utama mengurut itu tidak salah dalam Islam kerana mengurut tergolong daripada cara-cara atau usaha untuk membantu menghilangkan kesakitan dan sebagainya.

“Ia tidak bertentangan kerana ia salah satu cara untuk berubat, itu dari segi asasnya. Tetapi dalam hal ini, kita mesti tahu apa gunanya jin tersebut untuk pengurut itu. Ia menjadi satu tanda tanya.

“Macam mana dia berinteraksi dengan jin tersebut, mestilah menggunakan mantera dan sebagainya.

Apabila ada mantera, mungkin ada pemujaan. Kalau ada pemujaan, maka ia bertentangan dengan syarak,”katanya.

Menurutnya, pemujaan mendatangkan syirik kerana menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apabila mengabdikan diri kepada jin.

Ini termasuk mantera yang digunakan. Jika ia mempunyai unsur khurafat dan mendatangkan kepercayaan yang bertentangan, ia tetap dianggap syirik.

“Kita sebagai pelanggan pun kena ambil tanggungjawab ini. Walau hebat macam mana sekalipun, namun jika tukang urut itu mengamalkan ajaran yang bertentangan dengan Islam, kita perlu hindari.

“Selagi kita pergi mencari mereka, selagi itulah kita sebenarnya menyokong ke arah perbuatan yang tidak elok itu dan menggalakkan mereka untuk terus melakukannya, sedangkan ia khurafat,”katanya.

Masyarakat kini sebenarnya semakin keliru dengan amalan sesetengah tukang urut kini sehinggakan ada di antara mereka yang tidak sedar langsung wujudnya ‘alam lain’ ketika mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Namun itu bukanlah alasan kerana walaupun menggunakan cara lama, tidak semua tukang urut itu mengamalkan khurafat seperti Kak Nita.

Kisah Mengurut Guna Jin, Individu Kongsi Pengalaman Menyeramkan! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.