Monday, October 26, 2015

Warkah Buat Si Anak. Kisah Sedih Pasti Meruntun Jiwa!

Warkah Buat Si Anak. Kisah Sedih Pasti Meruntun Jiwa!

Tiada siapa pun di dunia ini yang sanggup kehilangan insan tercinta, permata paling berharga dalam hidup. Jodoh, pertemuan, ajal dan maut semua di tangan Allah, tiada siapa pun yang mampu menghalang, andai sudah tertulis bila tarikh kematiannya, maka dia akan dijemput menghadap sang pencipta!

Kisah ini telah dikongsi menerusi salah sebuah laman Facebook Mohammad Naim Bin Abdullah. Kisah ini menceritakan kegembiraannya dikurniakan cahaya mata, namun kebahagiaan tidak kekal lama. Siapa sangka anaknya pergi menghadap Illahi. Tabahnya hatimu dalam menempuh ujian dariNya.

Warkah Buat Si Anak. Kisah Sedih Pasti Meruntun Jiwa!

Warkah buat anakku Muhammad Adam Fawwaz bin Mohammad Naim

21 Oktober 2015, Rabu, 4 petang. 

Dapat panggilan telefon baby Adam nak jumpa abah. Terus abah beli tiket jam 6 dari Kuala Lumpur ke Alor Setar. Jam 11.12 malam, tangisan memecah kesunyian. Alhamdulillah, Tok Wan Adam telefon abah beritahu Adam sudah selamat dilahirkan. Seraya terucap Alhamdulillah meskipun abah sedikit hiba kerana tidak sempat menjadi yang pertama menjemput Adam dengan kalimat azan.

12.30 malam, Khamis. Abah tiba di shahab perdana. Terus pula ke pusat rawatan tempat Adam mula menjenguk dunia.

22 Oktober 2015, Khamis, 1 pagi. 

Abah sampai terus abah dukung, abah peluk, abah cium baby Adam. Adam tenang, mata bulat melihat abah. Tenang sangat abah rasa. Adam dah buka mata, Adam comel. Abah celupkan jari ke dalam air zamzam. Kuat Adam hisap jari abah, abah tersenyum.

"Terima kasih Adam kerana memberi sinar baru kepada abah,"

Jam 2 pagi, abah serahkan semula kepada nurse. Malam itu, Adam tidur seorang diri sebab nurse nak pantau Adam. Abah tak dapat tidur pada malam itu. Tak rasa mengantuk, segar saja mata kerana teruja nak jumpa baby Adam keesokan harinya.

Jam 9 pagi, Adam tampak lemah dan kurang bermaya. Doktor beritahu abah, Adam perlukan pemantauan dari Doktor Pakar Kanak-Kanak. Ambulan memecut lajut di depan, sementara abah rapat mengikuti di belakang. 

9.30 pagi, Adam dimasukkan ke NICU, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSBAS). Lama abah menunggu, jam 12 tengah hari doktor panggil abah masuk. Wayar di hidung Adam. Ada wayar di pusat Adam  untuk ubat. Wayar penuh di badan Adam. 

"Encik, saya akan berterus terang yang anak encik dalam keadaan tenat dan kritikal," kata doktor bahawa peluang untuk Adam hidup adalah tipis, 50-50 sahaja.

Abah menjadi bingung, berpinar pandangan mata abah, kelu lidah abah. Malam sebelumnya abah tengok Adam sihat, pagi pula doktor kata Adam kritikal, tenat dan tiada harapan. Terus abah terdiam. 

"Macam mana saya nak jelaskan pada semua yang sebelumnya gembira dengan kelahiran Adam?"

Doktor ambil nombor telefon abah dan kata mereka akan menghubungi abah. Abah senyap tak terkata. Keseorangan memikirkan bagaimana harus abah menyampaikan berita itu kepada semua bahawa Adam sebenarnya tenat?

Abah balik rumah, abah cakap pada mereka yang Adam sudah tidak larat. Itu saja yang termampu.

Khamis, 5 petang, abah pergi jumpa Adam. Abah hantar pampers new born dengan we tissue untuk Adam. Dalam itu abah tak boleh duduk lama-lama.

"Assalamualaikum Adam. Adam, abah mai ni Adam sayang," 

Abah tengok badan Adam bergerak pelahan-lahan. Jari jemari Adam bergerak-gerak, respon pada salam abah walaupun doktor dah berikan ubat tidur pada Adam. Abah cuci tangan dengan ubat, abah usap jari jemari Adam yang bergerak-gerak. Lama abah tengok Adam, bergenang air mata. Namun abah tahankan jua kerana abah harap Adam terjaga sambil melihat senyuman abah sahaja.

Khamis, 11 malam

Di rumah, doktor telefon dan memberitahu bahawa Adam mungkin hanya ada masa sampai esok sahaja. Abah pun bersiap-siap nak pergi tengok Adam. Adam pada masa itu tidak sedar apa dah. Doktor dah masukkan ubat bagi Adam mengantuk untuk Adam rehat. Mesin-mesin penuh, abah sedih tengok wayar-wayar di badan Adam. Geram abah tengok wayar-wayar yang ada di badanmu Adam. Kenapa tubuh kecilmu diperlakukan demikian rupa? Namun abah sedar, itu semua untuk kebaikan serta ikhtiar. Abah lega dan memujuk diri untuk berserah kepadaNya.

"Allah, moga segalanya dipermudahkan untuk Adam,"

Jumaat, 3.20

Doktor menghubungi abah dan cakap Adam sangat-sangat tenat. Doktor cakap boleh datang tengok Adam buat kali terakhir.

"Encik dan waris boleh datang melawat sekarang juga kerana anak encik sangat tenat," 

Sedang abah bersiap-siap untuk ke sana, doktor menghubungi abah.

"Encik, harap bersabar. Anak encik sudah tiada," katanya.

Abah pun senyap, menitik air mata. Abah pun siapkan baju Adam. Bukan baju baby, cuma kain pelekat dua helai untuk selimutkan Adam. Sebelum ini abah sangkakan kita akan menjadi kawan baik tetapi Allah memilih Adam untuk mendapat kawan-kawan di alam sana, kawan-kawan sebaya Adam juga.

Adam pilih hari Jumaat, hari yang baik untuk ke 'rumah baru' Adam yang sementara sebelum Adam ke rumah yang kekal selamanya di syurga kelak. Engkau bertuah wahai anakku, pasti syurga itu tempatmu. InshaAllah.

Bak kata Rasullullah SAW yang bermaksud;

“Tiap-tiap anak orang Islam yang mati sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Ramai yang berkata abah bapa bertuah kerana dikurniakan anak yang sedia menunggu di syurga. Lalu abah bermonolog bersendirian.

"Bagaimana mungkin abah akan bertemu dengan Adam di syurga sedangkan diri abah penuh dengan dosa noda yang hina untuk ke sana? Duhai anakku, tempatmu sudah tetap di syurga sana sedangkan abah belum tentu layak melihat apatah lagi menjejakkan kaki ke sana,"

Jumaat, 5 pagi

Abah pangu Adam dalam kereta. Sampai ke rumah, abah pangku Adam dalam kereta. 

23 Oktober 2015, Jumaat 6.45 - 11 pagi.

Adam sampai di rumah Tok Wan. Orang datang tengok Adam. Adam siap-siap mandi, wangi Adam. Abah cium Adam buat kali terakhir, wangian syurga. Abah solatkan Adam, abah bawa Adam keluar, kita naik kereta sama-sama. Sampai ke rumah baru Adam, abah letakkan Adam menghadap kiblat. Abah sendalkan badan Adam dengan ketulan tanah. Abah tutup pintu rumah Adam pelahan-lahan.

Adam, ketahuilah yang abah sayang Adam sangat-sangat. Abah sayang sangat-sangat pada Adam tetapi Allah sayangkan Adam juga. Dan kasih sayang Allah kepada Adam, kasih sayang berhikmah. Banyak mana pun sayang abah pada Adam, Allah lagi sayang kepada Adam.

Wahai anakku, abah sangkakan abah yang akan pergi dulu. Abah sangkakan abah yang akan menutup mata dahulu. Abah sentiasa berdoa biar Adam hidup walaupun abah galang gantinya. Kini Adam sudah tiada, Adam bawa semangat abah ke sana.

Terima kasih Adam sebab hadir dalam hidup abah walaupun hanya sebagai kenangan. Abah hilang kata-kata.

Maafkan abah sebab tidak sempat menjadi ayah yang sempurna untukmu sayang. Hadirmu tanpa sempat abah azakan, pergimu tanpa sempat abah talkinkan. Maafkan abah Adam Fawwazku sayang. Abah merancang, hanya Allah yang menentukan. Namun abah kena kuat, abah redha dan senyum walaupun hati hanya Allah saja yang tahu.

Abah Muhammad Adam Fawwaz
25 Oktober 2015, 1:50 petang
Alor Setar 

Warkah Buat Si Anak. Kisah Sedih Pasti Meruntun Jiwa! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Unknown

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.