Monday, July 27, 2015

Pekerja Ladang Maut Serta Merta Langgar Belakang Mercedes

Pekerja Ladang Maut Serta Merta Langgar Belakang Mercedes

KLUANG - Seorang pekerja ladang maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Km75.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, dekat sini, malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.10 pagi itu menyebabkan mangsa Mohamad Nor Helmy Ahmad Buhari, 19, yang berasal dari Felda Ulu Penggeli, Kluang meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham yang mengesahkan kejadian, motosikal jenis Kawasaki yang ditunggang oleh Mohamad Nor Helmy berada di laluan yang sama dengan kereta jenis Mercedes yang dipandu oleh Mohd Sallehuddin Jalil, 32, untuk menuju ke arah Kota Tinggi.

"Tetapi apabila sampai di tempat kejadian Mohamad Nor Helmy yang mengikut rapat kereta terbabit dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang kereta itu.

"Penunggang meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan teruk yang dialami dan telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom untuk dibedah siasat," katanya.

Mohamad berkata, pemandu kereta tersebut yang bekerja sebagai pemandu lori dari Felda Bukit Tongkat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan cuaca baik namun lokasi jalan lurus dua hala itu adalah gelap kerana tidak berlampu.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber Sinar Harian

Pekerja Ladang Maut Serta Merta Langgar Belakang Mercedes Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Media PenMerah

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.